Tumpuan :
Nasional

Syarat BMI bawah 28 untuk kenaikan pangkat bomba akan dibincang tahun depan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Syarat mempunyai indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 untuk kenaikan pangkat di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dibincangkan tahun depan, sejajar dengan syarat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, syarat BMI ini akan dibincangkan bersama Ketua Pengarah JBPM.

“Anggota JBPM tidak boleh mempunyai BMI melebihi 30. Sekiranya BMI melebihi 30, memang sudah menjadi dasar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tidak dibenarkan naik pangkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Sempena Tahun Baru Cina 2025 (Ops Siaga Raya).

Beliau menasihatkan anggota JBPM untuk memastikan badan sihat dan minda cergas, dengan berlari sekurang-kurangnya lima kilometer setiap hari. Syarat BMI ini dikenakan kepada semua pangkat dan masih dalam kawalan.

Pada Khamis lalu, media melaporkan bahawa anggota polis juga perlu memenuhi syarat BMI kurang daripada 28 untuk kenaikan pangkat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata syarat ini ditambah sebagai sebahagian daripada usaha memastikan proses kenaikan pangkat PDRM lebih ketat, dengan matlamat untuk meningkatkan kesihatan dan kemahiran anggota polis bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini