ALOR SETAR: Ibu kepada Muhammad Syafiq Amsyar Mohd Sufian, 3 tahun yang lemas bersama sepupunya dalam kolam ternakan udang semalam, memberitahu arwah tidak pernah berenggang dengannya.
Malah, menurut Nur Khairina Natasha Sarino yang hamil empat bulan, setiap kali hendak tidur, anak tunggalnya itu akan mengusap perutnya kerana tidak sabar menunggu adiknya lahir.
“Arwah juga tak sabar untuk masuk ke sekolah tahun depan dan saya baru bercadang nak ambil borang tadika untuknya tahun depan, tapi tak sangka dia pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Wanita berusia 24 tahun itu memberitahu, sebaik menyedari anaknya hilang, dia bersama suami mencari sekitar rumah, tetapi gagal.
Muhammad Syafiq Amsyar dijumpai lemas bersama sepupunya, Muhammad Aidil Adha Mohd Ali, 5, di kolam ternakan udang berhampiran rumah mereka di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, jasad dua kanak-kanak lelaki berkenaan ditemukan, selepas bapa Muhammad Aidil Adha dan dibantu jirannya, menarik pukat di kolam ternakan udang itu.
Nur Khairina Natasha berkata, semalam dia berada di rumah sepupunya di Kampung Sungai Emas Hujung sementara menunggu suaminya, Mohd Sufian Hosin, 25, membantu sepupu mereka, Mohd Ali Abdul Rahman, 48, di kolam ternakan udang itu sejak empat hari lalu.
“Saya melihat jenazahnya dan nampak wajahnya berseri-seri serta putih malah dia seolah-olah sedang tidur,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.
Sementara itu, Mohd Ali ketika berkata, semalaman, dia tidak dapat melelapkan mata kerana masih terbayangkan wajah anak kesayangannya.
Anak kelima daripada enam beradik itu memang kerap mengikutnya ke kolam ternakan udang yang tidak jauh dari rumah mereka.
“Mungkin Muhammad Syafiq Amsyar terjatuh dahulu dan arwah anak saya cuba menyelamatkannya, menyebabkan mereka lemas,” katanya.
Jenazah dua kanak-kanak itu dijangka dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Emas, Kota Kuala Muda, petang ini.