Tumpuan :
Nasional

Suspek utama kes bakar kereta Vios direman 7 hari

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang disyaki membakar sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Tebrau, Ahad lalu, berjaya diberkas polis dalam serbuan tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata suspek berusia 25 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 12.20 tengah malam selepas melarikan diri ke Bukit Pasir, Batu Pahat.

“Semalam, kira-kira jam 12.20 tengah malam, pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama D7 Bahagian Siasatan Jenayah Batu Pahat menjalankan dua serbuan di Bukit Pasir, Batu Pahat dan Taman Sri Tebrau, Johor Bahru.

“Suspek akhirnya diberkas di Bukit Pasir, dan polis turut merampas sebuah Toyota Vellfire yang digunakan ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ACP Raub berkata, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi tadi untuk permohonan reman.

“Majistret membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 11 Februari bagi membantu siasatan,” tambahnya.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman kejadian sebuah Toyota Vios disimbah petrol sebelum terbakar berhampiran sebuah hospital swasta di Jalan Tebrau.

Perbuatan khianat itu dipercayai dilakukan sendiri oleh suami pemilik kenderaan berkenaan, menyebabkan isterinya mengalami kerugian hampir RM90,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini