Tumpuan :
Nasional

Suspek tikam 2 beranak hingga maut direman 7 hari

GEORGE TOWN: Suspek lelaki yang menikam dua beranak hingga maut dalam kejadian di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Ayer Itam, di sini tengah hari semalam direman selama tujuh hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata, suspek direman mulai hari ini hingga 14 November depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, keadaan suspek berusia 32 tahun yang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) berada dalam keadaan stabil.

“Suspek masih hidup dan (dia) dalam keadaan stabil,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan Siti Zulaila, 30 maut bersama bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62 maut akibat ditikam seorang lelaki dalam kejadian di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam, di sini, tengah hari semalam.

Insiden itu dipercayai berpunca angkara mangsa wanita dikatakan telah menolak cinta suspek.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa baru pulang dari tempat kerjanya sebelum didatangi suspek bersenjatakan pisau dan menikam mangsa.

Bapa mangsa yang menyedari kejadian berkenaan cuba meleraikan tindakan suspek terhadap anak perempuannya namun dia juga turut ditikam.

Dalam perkembangan lain, proses bedah siasat terhadap dua beranak itu masih dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HPP.

Kedua-dua beranak itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Tanjong Tokong, di sini selepas proses bedah siasat selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini