BUTTERWORTH : Seorang wanita maut dipercayai akibat ditetak dengan parang oleh seorang lelaki di hadapan sebuah premis di Jalan Raja Uda, di sini, hari ini.
Dalam insiden kira-kira jam 11.10 pagi, mangsa warga tempatan berusia 42 tahun mengalami kecederaan parah di belakang leher dan bahu lalu dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum dilaporkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata pegawai penyiasat bersama pasukan kemudian bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, pasukan forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, turut hadir di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
“Ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan itu, didapati ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian berkenaan, selain terdapat saksi melihat insiden terbabit.
“Dalam kejadian itu, mangsa ditetak di bahagian belakang leher dan bahu kiri dengan parang sehingga mengalami kecederaan parah.
“Mangsa telah dibawa ke HSJ untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 11.58 pagi tadi.
Mayatnya dihantar ke Unit Forensik untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Susulan itu, Mohd Asri berkata, polis menjejaki suspek sebelum menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun.
“Selepas kejadian itu, suspek didapati terjun dari Jambatan Pulau Pinang tetapi berjaya diselamatkan orang awam dan diserahkan kepada polis.
Suspek kini menerima rawatan di hospital berhampiran,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Nasrina Darus, melalui talian 04-5762222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Terdahulu, suspek didakwa melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal apabila orang awam mengejarnya selepas melihat kejadian itu.
Bagaimanapun, motosikal ditunggangnya itu kemudian diletakkan di bahu jalan atas jambatan terbabit sebelum suspek dikatakan terjun.
Berdasarkan paparan rakaman video yang tular, lelaki yang berjaya diselamatkan itu dipercayai cuba terjun sekali lagi dari bot nelayan ketika mereka dalam perjalanan menghala ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban.