KUCHING: Polis mengesahkan motif pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui reput di Tabuan Jaya, Ahad lalu berpunca daripada suspek terdesak memerlukan wang untuk menyaksikan perlawanan bolasepak di antara Harimau Malaya menentang Kemboja di Phnom Penh.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, motif pembunuhan itu diketahui susulan pengakuan dibuat suspek yang kini berada dalam tahanan reman pihaknya.
Beliau berkata, suspek mengaku mengambil barang kemas mangsa iaitu gelang tangan dan anting-anting emas untuk digadai.
“Ketika dalam soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatan itu (membunuh mangsa) dan mengambil barang kemas mangsa untuk digadai kerana dia memerlukan wang untuk perbelanjaan ketika menyaksikan kejohanan bola sepak Kemboja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Krismas 2024 dan Hari Bertemu Pelanggan PDRM Kontinjen Sarawak di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini, Mancha berkata beliau yakin polis hampir berjaya menyelesaikan kes berkenaan.
“Selepas polis berjaya menahannya dan melakukan siasatan, suspek membuat pengakuan memang dia yang membunuh mangsa dan berdasarkan bukti diperoleh, polis percaya kes itu hampir selesai.
“Malah suspek juga menunjukkan lokasi mayat mangsa dibuang sehingga membawa kepada penemuan mayat wanita yang sudah reput baru-baru ini,” katanya.
Mancha berkata, semalam ketika pemeriksaan susulan di lokasi mayat mangsa ditemui Ahad lalu iaitu di longkang berdekatan tempat pembuangan sampah di Tabuan Jaya, polis menemui beberapa bahan bukti baharu antaranya pakaian, gigi dan gumpalan rambut.
“Polis pergi semula ke lokasi itu semalam kerana ketika ditemui, mayat tidak berpakaian lengkap dan hasil pemeriksaan terbaharu itu, kita berjaya menemui bukti baharu,” katanya.
Pada 5 Disember lalu, polis menerima laporan kehilangan seorang wanita, Nurul Asikin Lan, 26, selepas dia dikatakan keluar dengan seorang lelaki yang baru dikenali.
Mancha berkata, berikutan keadaan mayat yang sudah reput, keluarga wanita terbabit juga tidak dapat mengecamnya.
Justeru, katanya, polis masih menunggu keputusan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka diperoleh 22 Disember ini untuk mengesahkan identiti mayat reput itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.