Tumpuan :
Nasional

Suspek kes tembak ‘tumpang’ kereta 6 sekeluarga sebelum larikan diri

Suspek kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu bersama isteri dan empat anaknya berdepan detik mencemaskan apabila dipaksa menaiki kereta sendiri oleh seorang lelaki bersenjata di parkir pusat beli-belah di Setia Alam.

Menurut lelaki berusia 30-an yang enggan dikenali, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga baru selesai makan di restoran pusat beli-belah terbabit.

“Pengawal keselamatan mengarahkan kami semua segera keluar. Waktu itu, tidak tahu apa kejadian sebenar berlaku.

“Saya segera membawa ahli keluarga keluar dan ketika hendak ke tempat parkir, terdengar bunyi letupan. Awalnya, saya ingat bunyi bonggol dilanggar yang seolah-olah berbunyi seperti letupan.

“Saya anggap itu bunyi biasa sahaja dan tak sangka rupanya bunyi letupan daripada tembakan pistol,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurutnya ketika dia dan keluarga hendak memasuki kereta, suspek berada di sebelah dan mengacukan pistol.

“Saya tercengang. Suspek turut melepaskan tembakan ke arah dinding untuk menunjukkan bahawa itu pistol betul,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga dipaksa masuk ke dalam kereta sebelum suspek duduk di tempat duduk belakang dan mengarahkannya memandu ke laluan keluar.

“Saya minta dia simpan pistol supaya anak-anak tidak takut. Lelaki itu kemudian mengarah saya ke laluan keluar sebelum turun di tepi lebuh raya.

“Dia (suspek) berada dalam kereta kira-kira 45 minit dan sebelum menghilangkan diri, dia mengambil kad memori pada ‘dashcam’ kereta,” katanya.

Media semalam melaporkan bahawa polis telah mengenal pasti suspek sebagai lelaki tempatan berusia 30-an yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata suspek dikenal pasti menerusi risikan polis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Loading...
Terkini