comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Suspek kes tembak KLIA akan didakwa lagi

 


Oleh: Siti Khadijah Jaafar

SEPANG: Lelaki yang ditahan kerana melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dua minggu lalu akan didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at yang dihubungi Buletin TV3 berkata, Hafizul Hawari, 38 tahun akan berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Semalam pengurus syarikat agensi pelancongan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, 15 April lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria, yang menyalahi Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Bagi pertuduhan kedua lelaki itu didakwa memiliki 33 butir tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sementara itu, bagi kes keempat hingga enam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun Hafizul mengaku tidak bersalah untuk kesemua pertuduhan.

Terdahulu lelaki ini dilanjutkan reman enam hari sehingga 27 April ini selepas reman pertama bertempoh seminggu tamat 22 April lalu.

Hafizul ditahan di Kota Bharu, Kelantan 15 April lalu selepas melarikan diri setelah melakukan jenayah tembak di KLIA1 pada 14 April.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini