Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan reman selama 5 hari bagi membantu siasatan berhubung kes samun ragut dan curi motosikal, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata seorang perempuan warga asing telah menjadi mangsa samun ragut di Jalan Macalister, di sini, kira-kira jam 11.30 malam.
Katanya, suspek lelaki tempatan yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 telah menghampiri dan meragut beg mangsa semasa kejadian.
@buletintv3 TULAR | Lelaki dengan lapan rekod lampau berjaya ditahan orang awam selepas meragut wanita warga asing dalam kejadian di Jaan Macalister di sini, Ahad lalu. #beritaditiktok #buletintv3 #tular ♬ original sound – BuletinTV3
Suspek cuba melarikan diri, namun telah ditangkap oleh orang awam di sekitar tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis.
“Hasil semakan mendapati motosikal yang digunakan adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di daerah Timur Laut. Hasil ujian saringan awal juga mendapati suspek positif dadah jenis ganja.
“Suspek yang berasal dari Pulau Pinang mempunyai 8 rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah. Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama 5 hari sehingga 23 Jun,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan bagi kesalahan samun ragut, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun atau sebatan atau dua-duanya sekali.
Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri motosikal yang boleh dikenakan penjara sehingga 7 tahun dan denda.