comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Suspek kes jururawat dipukul ditahan

 

KUALA PILAH: Lelaki disyaki suspek dalam kejadian seorang jururawat wanita yang ditemui tidak sedarkan diri dipercayai akibat diserang dekat Jalan Simpang Tiga Dangi, dekat Johol, di sini, malam Jumaat lalu, ditahan, petang semalam.

Suspek yang berusia 34 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah, di sini, kira-kira jam 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani berkata, permohonan reman terhadap suspek sudah dibuat di Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi.

“Seorang lelaki ditahan di IPD, petang semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes jururawat wanita yang ditarik dari keretanya sebelum dipukul sehingga separuh sedar malam Jumaat lalu.

“Suspek yang berusia 34 tahun direman selama empat hari bermula hari ini. Siasatan lanjut masih dijalankan berkenaan pembabitan suspek dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai motif kejadian, ia masih dalam siasatan, termasuk hubungannya dengan wanita itu.

Media sebelum ini melaporkan jururawat wanita yang ditemui tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi, dikatakan ditarik keluar dari kereta sebelum diserang.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 30-an ditemui tertiarap dan kasut tertanggal di luar keretanya dengan enjin masih hidup.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab dilaporkan berkata, berdasarkan laporan awal, mangsa mengalami luka di kepala akibat dipukul.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini