Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Seorang gelandangan berusia 53 tahun disyaki suspek kes pembunuhan seorang peniaga wanita yang mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuantan dekat Jambatan Tanjung Lumpur, ditahan, di Kuala Terengganu, Terengganu, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu, kira-kira jam 5.30 pagi tadi.
Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai dan rumah tempat suspek ditahan dipercayai merupakan rumah ahli keluarga.
Katanya, turut dirampas bersama suspek ialah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.
“Dengan tertangkapnya lelaki terbabit polis percaya dapat menyelesaikan kes bunuh membabitkan seorang peniaga wanita yang mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuantan, Khamis lalu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mangsa Norshamira Zainal, 37, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas ke lokasi terbabit untuk menghantar sambal bilis ditempah suspek pada petang Rabu lalu.
Wan Zahari berkata, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek petang ini dan kes disiasat mengikut 302 kanun keseksaan kerana membunuh.
Polis masih menyiasat motif pembunuhan wanita terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.