Oleh: Ing Boon Seng
PETALING JAYA: Suspek yang disyaki terlibat dalam kes buli pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok.
Pertuduhan dijangka dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Dalam kejadian jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.
Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.
Mangsa membuat laporan polis pada 1 November lalu dan keterangan daripadanya juga sudah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Polis juga merakam keterangan 16 individu terdiri daripada mangsa, suspek dipercayai pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM bagi membantu siasatan.
Seterika yang digunakan suspek untuk menekap badan mangsa yang juga pegawai kadet tahun dua UPNM juga sudah dirampas sebagai bahan bukti kes itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.