KUALA LUMPUR: Seorang daripada empat lelaki yang dipercayai terbabit mendera Ummu Atiyyah yang juga anak sulung bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad pernah ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) susulan siasatan polis ke atas GISB Holdings (GISBH), baru-baru ini.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata lelaki terbabit adalah antara kumpulan individu yang ditahan pada peringkat awal Op Global dilaksanakan.
“Individu terbabit sebelum ini ditahan mengikut SOSMA tetapi sudah dibebaskan dengan jaminan polis. Kita mengetahui di mana keberadaanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengenai tiga lagi lelaki yang dikaitkan dalam kes Ummu Atiyyah, identiti ketiga-tiganya sudah dikenal pasti dan polis masih menjalankan usaha mengesan keberadaan mereka.
Minggu lalu, Razarudin dilaporkan berkata polis sudah mengenal pasti empat lelaki, kesemuanya berusia 20 tahun ke atas yang dipercayai terbabit mendera Ummu Atiyyah.
Menurut beliau, pihaknya sudah menerima nama suspek berdasarkan laporan polis dibuat dan pendedahan yang dibuat oleh mangsa.
Terdahulu, Ummu Atiyah, 41, dalam satu sidang media di ibu negara, pada 18 Oktober lalu mendakwa dia pernah menjadi mangsa keganasan seorang pemimpin GISBH.
Kejadian itu dikatakan berlaku sewaktu dia dipaksa berkahwin dengan lelaki itu pada 2015.
Wanita itu mendakwa dia turut dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar, Perak.
Pada 20 Oktober lalu, Ummu Atiyyah menunjukkan kepada pihak polis lokasi dia mendakwa ditahan selama sebulan di Kampung Batu Hampar Dalam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.