Tumpuan :
Nasional

Suspek dadah pecut dari Sungai Petani ke Jambatan Pulau Pinang

SUNGAI PETANI: Polis terpaksa mengejar sebuah kereta suspek kes dadah, dari Bakar Arang Sungai Petani ke Jambatan Pulau Pinang di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata cubaan dua suspek berusia 20-an dan 40-an yang menaiki kereta jenis Proton Wira itu melarikan diri gagal apabila mereka ditahan polis di jambatan berkenaan.

“Kedua-duanya adalah suspek yang dikehendaki oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang selepas dipercayai terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah.

“Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) ternampak sebuah kereta berada dalam keadaan mencurigakan di Kawasan Perindustrian Ringan di Bakar Arang kira-kira pukul 1.30 pagi,” katanya.

Berikutan itu jelasnya, anggota polis terbabit cuba menahan kereta berkenaan untuk melakukan pemeriksaan namun pemandunya memecut laju memasuki laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan.

Dua buah MPV polis kemudian bertindak mengejar kereta suspek dengan dibantu anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas kenderaan itu berpatah balik menggunakan jambatan untuk ke tanah besar.

“Kereta yang dipandu dalam keadaan laju itu kemudian terbabit kemalangan sekitar jam 3 pagi dengan sebuah kenderaan lain di atas jambatan sebelum pemandunya bertindak terjun ke dalam laut.

“Suspek bagaimanapun diselamatkan oleh nelayan dan diserahkan pada polis manakala rakannya pula ditahan polis di dalam kereta terbabit,” katanya.

Kedua-dua suspek direman sehingga 12 Disember ini untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan perundangan berkaitan kesalahan trafik.

Loading...
Terkini