comscore
Tumpuan :
Nasional

Suspek cekik adik, pernah menyerang ibu bapa

Foto: NSTP

MELAKA: Suspek remaja lelaki yang disyaki mencekik adiknya hingga mati di Bukit Piatu, didakwa mula berubah sikap selepas menjadi mangsa buli di sekolah.

Artikel berkaitan: Pelajar cekik adik hingga maut akan direman hari ini

Bapa kepada remaja berusia 14 tahun itu memberitahu, sikap anak sulungnya yang bersekolah asrama di Alor Gajah itu mula berubah selepas dia dikatakan dibuli pelajar senior.

Dakwanya, anaknya itu dibuli sejak tingkatan satu tetapi hanya mendiamkan diri sehinggalah berlarutan ke tahun ini dan semakin teruk sebelum mula mengadu kepadanya dan isteri.

“Dia kerap menelefon ibunya mengadu tetapi awalnya saya sangkakan keadaan biasa budak asrama sehinggalah terdapat kesan kecederaan, kami kemudian mengadu kepada sekolah serta membuat laporan polis.

“Dia mengadu dengan memberitahu dibuli oleh dua rakan senior termasuk dicekik ketika tengah tidur, disimbah air dan juga ditendang selain dipukul,” kata bapa berusia 42 tahun itu.

Menurut bapa kepada empat anak itu, susulan daripada perubahan sikap, anaknya itu pernah bertindak mencekiknya dan isterinya.

“Pernah mengambilnya dari sekolah dan tidak lama selepas tiba di rumah dia tiba-tiba meraung dengan menyebut subhanallah dalam keadaan mata terbeliak sebelum bertindak mencekik saya, tenaganya ketika itu seakan orang dewasa.

“Disebabkan perubahan sikapnya itu juga, kami biarkan dia belajar di rumah buat sementara waktu selain dalam waktu yang sama, saya dan isteri juga ada membawanya mendapat rawatan,” katanya.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di Terengganu atas urusan kerja, manakala isterinya yang bertugas sebagai jururawat juga sedang bekerja, dan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku mereka memantau pergerakan dua beradik itu melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipantau menerusi telefon bimbit.

“Sebelum kejadian saya ada menelefon sama ada sudah makan atau belum, dia masih seperti biasa dan memberitahu sudah makan.

“Tidak sangka apa yang kami bimbangkan berlaku apabila menerusi rakaman CCTV melihat dia tiba-tiba mencekik adiknya yang ketika itu berada di sofa,” katanya.

Loading...
Terkini