Tumpuan :
Nasional

Suri rumah rugi RM147,753, tertipu tawaran kerja palsu

Foto hiasan

KUANTAN: Seorang suri rumah di Bera kerugian RM147,753 selepas terpedaya tawaran kerja sambilan dalam talian yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 38 tahun itu menyertai tawaran kerja secara dalam talian yang diiklankan di Telegram pada 13 Disember lalu.

Katanya, mangsa dijanjikan keuntungan lumayan bagi setiap produk dijual dan diberi pautan bagi melakukan setiap tugasan.

“Suspek meminta mangsa membuat semula tugasan diberi kerana kononnya berlaku kesilapan.

“Mangsa juga membuat bayaran dengan melakukan 28 transaksi kepada sembilan akaun berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM147,753 untuk mendapatkan semula pautan daripada suspek.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila suspek mendakwa mangsa berjaya mendapat komisen berjumlah RM200,000 tetapi gagal ditebus.

“Siasatan mendapati mangsa menggunakan wang simpanan untuk semua transaksi yang dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini