comscore
Tumpuan :
Nasional

Suri Rumah Cipta Hampir 600 Dekorasi Pada Kek ‘Swiss Roll’

Oleh Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: ‘Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.’

Itulah prinsip yang dipegang seorang pengusaha kek yang sebelum ini tidak mengetahui selok belok membuat kek jenis ‘Swiss Roll’, apatah lagi menghasilkan dekorasi menarik pada kek yang dihasilkan.

Namun segalanya bermula dengan hanya merasai kek ‘Swiss Roll’ buatan jiran, sebelum makanan kegemaran bersama anaknya itu menjadi sumber pendapatan mereka sekeluarga.

Nurul Nadia Ariffin, 36 tahun yang juga suri rumah berkata, pandemik COVID-19 yang lalu telah mengubah hidupnya sehingga merancang menjadikan kerjaya membuat kek berkenaan sebagai kerjaya untuk menjana pendapatan.

Untuk mencari kelainan, Nadia berusaha belajar mendekorasi kek dengan latihan melukis pelbagai corak animasi dan kartun pada tisu dan kertas.

Menurutnya, permulaan mendekorasi kek bukan mudah, malah dia berdepan beberapa cabaran antaranya corak dan kek tidak menjadi.

Bagaimanapun ibu kepada dua anak itu tidak berputus asa sehingga dia berjaya menghasilkan pelbagai corak dan watak pada kek ‘Swiss Roll’ yang ditempah oleh pelanggannya.

“Kalau masa mula-mula tu dengan tangan menggigil, lama juga masa saya ambil untuk buat satu dekorasi kalau orang lain hanya ambil masa satu jam tapi saya ambil masa lebih dua jam walaupun cuma melukis tema yang mudah.

“Bagaimanapun saya seronok setiap kali menghias kek dan teruja apabila karya diterima oleh pelanggan dan rata-rata mereka berpuas hati,” katanya.

Menurutnya lagi, corak dan dekorasi tempahan juga kadang kala bergantung kepada permintaan pelanggan dan tema tertentu mengikut musim sambutan perayaan.

Menerusi hasil titik peluhnya itu, dia juga berjaya mendapat lebih 50 tempahan dengan pelbagai dekorasi dalam tempoh sebulan.

Malah lebih mengujakan apabila air tangannya itu turut mendapat tempahan dari negara jiran, Indonesia.

Loading...
Terkini