Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob meletakkan jawatan beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah berkuatkuasa serta merta.
Suraya dalam satu kenyataannya bagaimanapun tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.
“Di kesempatan inl, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah atas perkenan Tuanku melantik saya ke jawatan berkenaan.”
“Setinggi penghargaan juga kepada barisan rakan Exco serta kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah, semua jabatan dan agensi kerajaan, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Syarikat Air Darulaman (SADA), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), para NGO, individu dan seluruh rakyat negeri Kedah, yang selama ini memberikan kerjasama erat bagi memastikan pelaksanaan dasar Kerajaan Negeri di bawah bidang portfolio saya dapat direalisasikan sebaik mungkin,” katanya.
Dibawah kepimpinannya, Suraya menyatakan beliau telah membantu penyelarasan mempercepatkan projek menaiktaraf 5 Loji Rawatan Air (LRA) yang tertangguh akibat dihentikan Kerajaan Negeri terdahulu.
Ia menyaksikan terimaan manfaat bernilai RM2.62 billion atas penstrukturan semula industri air negeri Kedah, meliputi penghapusan hutang RM1.82 bilion dan selebihnya bagi kos membina 2 buah LRA baharu di Sidam Kiri dan Kodiang.
Suraya juga menyatakan beliau telah membantu menyediakan sumber alr tambahan buat rakyat negeri Kedah, melibatkan 2 buah Takungan Air Pinggiran Sungai TAPS (ORS 7 dan 9) bagi dibangunkan untuk kegunaan menakung air lebihan yang melimpah ruah ketika musim tengkujuh untuk kegunaan ketika musim kemarau.
Selain itu, beliau juga menghadapi cabaran bencana banjir kepala air di daerah Yan dan Baling, tragedi ban pecah di Sungai Santap dan krisis air pada kemarau 2021.
Jelasnya, beliau yakin telah memberikan komitmen dan bekerja keras sedaya mungkin sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah, sebagaimana yang diamanahkan Kerajaan Negeri dan rakyat negeri Kedah.
Untuk rekod, Suraya merupakan Ahli majlis Tertinggi UMNO, dan Ketua Penerangan UMNO Kedah.