KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan surat tawaran menunaikan ibadat haji bagi musim 1445/2024 sedang dalam proses penilaian terakhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata pengumuman mengenainya akan dibuat sedikit masa lagi.
“Surat tawaran haji (akan dikeluarkan) dalam masa yang amat terdekat,ia (ketika ini) masih lagi dalam proses akhir.
“Kita akan buat pengumuman mengenainya,” katanya pada sidang media bersempena Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun KC Ahmmu.
Mengenai kos haji bagi musim kali ini, Syed Saleh mengakui akan berlaku kenaikan dengan perkara itu di luar kawalan TH.
“Sudah tentu kos haji setiap tahun meningkat dan ini didorong oleh pelbagai aspek terutama inflasi, dengan pelaksanaan Cukai Nilai Tambah (VAT) di Arab Saudi dan pergerakan mata wang asing di antara Ringgit Malaysia (RM), Riyal (Arab Saudi) dan Dollar, Amerika Syarikat.
“Ini semua antara isu yang akan memberi impak impak kepada kos haji dan ia diluar kawalan TH,” katanya.