GUA MUSANG: Lebih 200 penduduk Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini, hilang sumber pendapatan selepas Sungai Lebir yang menjadi punca pendapatan mereka kini didakwa tercemar.
Ia susulan penemuan hampir satu tan ikan mati pada akhir tahun lalu dipercayai kesan aktiviti perlombongan.
Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail, berkata kesan pencemaran akibat aktiviti perlombongan di sungai itu secara tidak langsung membuatkan penduduk hilang sumber pendapatan berikutan banyak ikan mati dan pupus.
“Sejak zaman 70-an, Sungai Lebir menjadi lubuk rezeki bagi penduduk menangkap ikan termasuk spesies yang sukar diperoleh seperti ikan kelah, toman, jogho dan kenerak.
“Namun aktiviti menangkap ikan terhenti sejak tahun lalu apabila keadaan sungai semakin tercemar dan ikan semakin pupus.
“Keadaan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada pendapatan kami penduduk Orang Asli di sini. Kini kami terpaksa menyara keluarga dengan bercucuk tanam dan menoreh getah saja,” katanya.
Penduduk kampung, Bolek Lilin, 78, pula berkata mereka kini tidak berani menggunakan air sungai itu untuk kegunaan harian kerana bimbang keracunan.
Katanya, sebelum ini sungai itu menjadi sumber utama penduduk kampung mandi dan memasak.
“Kami bersyukur kerana Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyediakan bekalan air bersih untuk kegunaan penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin mengakui menerima aduan daripada penduduk kampung berkenaan Sungai Lebir yang tercemar.
Beliau berkata, pihaknya mengambil perhatian mengenai aduan penduduk dan akan merujuk kepada pihak bertanggungjawab.
“Saya prihatin terhadap masalah dibangkitkan penduduk Orang Asli kerana apabila sungai tercemar, kehidupan akuatik akan terjejas, sekali gus menjejaskan pendapatan penduduk yang bergantung rezeki kepada sungai.
“Selain di Kampung Pasir Linggi, kampung berhampiran dihuni penduduk Melayu seperti Kampung Miak, Kampung Sungai Lepa, Kampung Susu Dara juga turut terjejas,” katanya. – BERITA HARIAN