Tumpuan :
Nasional

Sungai Tamparuli semakin cetek kerana tiada hujan

Paras Sungai Tamparuli semakin cetek dan kering selepas tidak berlaku hujan lebat. – FOTO: NSTP

TAMPARULI: Paras air Sungai Tamparuli yang hampir kering pada beberapa bahagian akibat cuaca panas terus mengalami penyusutan selepas tiada hujan lebat sepanjang tempoh dua bulan lalu.

Sungai Tamparuli bermula dari Kampung Romokon, Ulu Kiulu dan mengalir di Sungai Tuaran sepanjang 80 kilometer, hanya mengalami sekali hujan lebat pada Jumaat, namun kejadian itu tidak mengubah paras air.

Tinjauan mendapati hujan lebat selama sejam itu tidak memberi sebarang perubahan pada paras air Sungai Tamparuli yang menjadi sumber utama Loji Rawatan Air Telibong untuk diproses sebelum disalurkan kepada pengguna di Tamparuli dan Tuaran.

Malahan, beberapa bahagian sungai itu sudah kering sehingga menampakkan beting pasir dan batu yang selama ini tidak kelihatan.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata kejadian hujan dalam tempoh sejam tidak mampu memberi kesan terhadap paras sungai itu.

Loji Rawatan Air Telibong yang memproses air Sungai Tamparuli untuk dibekalkan kepada pengguna. – FOTO: NSTP

“Paras sungai hanya akan kembali seperti biasa apabila berlaku hujan lebat dari Ulu Kiulu secara berterusan.”

Katanya, Sungai Tamparuli menerima aliran air dari Ulu Kiulu sehingga Muara Tuara dengan saiz lembangan seluas 988 kilometer banyak berjasa kepada kehidupan dan pembangunan rakyat Sabah.

Difahamkan, Kiulu menerima sedikit hujan empat hari lalu selepas dua bulan mengalami cuaca panas.

Menurut beliau, Sungai Tamparuli adalah sumber air yang dibekalkan kepada Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Pelabuhan Sepanggar, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara (UITM), Politeknik Kota Kinabalau; Institut Latihan Perindustrian dan taman perumahan.

Tangau berkata empat loji rawatan air dan satu takungan air yang disediakan di Telibong mengambil air dari Sungai Tamparuli untuk diproses setiap hari.

Empat loji itu ialah Loji Rawatan Kampung Bawang berkeupayaan membekalkan tiga juta liter air sehari; Loji Rawatan Telibong satu 75 juta liter sehari; Loji Rawatan Telibong Fasa satu (80 juta liter sehari) dan Loji Rawatan Telibong dua Fasa dua (80 juta liter sehari).

Katanya, jika tidak berlaku hujan lebat dalam tempoh terdekat, simpanan air di takungan Telibong bakal terjejas kerana paras air sungai sukar sampai pada pam loji berkenaan.

Awal bulan lalu, Papar diletakkan sebagai kawasan dilanda bencana kemarau apabila lebih 150,000 penduduknya gagal mendapat bekalan air bersih.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini