Tumpuan :
Nasional

Sungai Golok lepasi tahap bahaya

Keadaan air sungai Kelantan selepas hujan lebat sejak dua hari lalu. – FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Sungai Golok menunjukkan paras melebihi tahap bahaya dengan trend air semakin bertambah susulan hujan dan juga aliran arus daripada kawasan hulu.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, setakat jam 10.30 pagi, hari ini, paras air sungai berkenaan mencatat bacaan 9.25 meter.

Susulan itu, beberapa penempatan rendah mula digenangi banjir seperti Kampung Tersang, Kampung Tasek Bakong, Kampung Putat Tujuh, Kampung Kusar, Kampung Padang Licin dan Kampung Luar, di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin, berkata jika hujan berterusan paras Sungai Golok akan terus mencatat bacaan yang lebih tinggi.

“Penduduk disarankan berpindah ke pusat pemindahan sementara dengan segera kerana bimbang jika paras air terus bertambah.

Tambahan pula, proses berpindah lebih mudah dilakukan pada waktu siang berbanding malam.

“Mangsa tidak boleh melengahkan masa untuk berpindah kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Pengalaman sebelum ini menunjukkan ramai antara mangsa yang berpindah pada waktu malam.

“Ia bukan sahaja menyukarkan agensi keselamatan untuk misi menyelamat tetapi juga membahayakan keselamatan penduduk sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainal berkata, bagaimana pun, jalan utama ke Pekan Rantau Panjang masih boleh dilalui selain operasi perniagaan di Zon Bebas Cukai juga berjalan lancar.

Tambahnya, pihak amat mengharapkan kerjasama penduduk untuk akur dengan arahan demi kebaikan bersama.

Selain Sungai Golok, dua lagi sungai menunjukkan bacaan melebihi paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Kraiserta Sungai Semerak Bachok, masing-masing mencatat paras 20.25 meter dan 7.66 meter. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini