RANTAU PANJANG: Paras Sungai Golok yang menyusut disebabkan cuaca panas dan kemarau menyebabkan sekurang-kurangnya tiga lokasi di sungai itu cetek sehingga boleh dilalui dengan berjalan kaki.
Tinjauan Berita Harian mendapati lokasi cetek membabitkan Pangkalan Haram Padang Bola, Pangkalan Haram Pasir dan Pangkalan Haram Sharipah, di sini, yang mana air mula surut sehingga paras 0.3 meter, malah ada yang kering sehingga menampakkan dasar sungai.
Penduduk, Shaari Mazlan, 43, berkata kawasan dasar sungai di ketiga-tiga pangkalan itu agak tinggi dan menjadi antara lokasi awal untuk kering berbanding pangkalan lain di sepanjang Sungai Golok.
“Situasi ini berlaku sejak seminggu lalu apabila Rantau Panjang dilanda kemarau hampir sebulan. Bagaimanapun, beberapa kawasan lain seperti pangkalan haram Gergaji dan Baung masih perlu menggunakan khidmat perahu untuk ke seberang Thailand.
“Ketiga-tiga pangkalan ini bukanlah lokasi tumpuan untuk orang ramai ke Thailand, justeru jarang sekali melihat pengunjung atau orang awam mengambil peluang berjalan kaki ke negara seberang.
“Yang ada hanyalah orang tempatan atau kanak-kanak yang mengambil peluang bermain air sungai. Malah sebelum ini jika musim kemarau melanda, lokasi berkenaan biasanya dijadikan tempat ‘pesta air’.
“Namun begitu, memandangkan sekarang bulan Ramadan, jadi tiada lagi aktiviti sedemikian dan sejujurnya kami orang di sini sudah biasa dengan situasi sedemikian,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Haram Padang Bola, di sini, hari ini.
Shaari mengakui penduduk tempatan sendiri takut untuk merentas sungai sesuka hati kerana akur dengan undang-undang dan lebih memilih melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) untuk ke Golok, Thailand.
Sementara itu, Che Zainab Harun, 56, berkata jika kemarau berterusan, biasanya akan ada lagi beberapa kawasan yang akan turut menjadi cetek sekali gus memberi peluang rezeki untuk penduduk mencari etok.
“Situasi sekarang ini sebenarnya biasa-biasa sahaja malah kawasan yang cetek itu bukan ‘port’ utama untuk orang tempatan berkelah atau mencari etok pada musim kemarau.
“Hampir setiap tahun beberapa kawasan dasar Sungai Golok akan timbul atau air menjadi cetek apabila tiba musim kemarau dan ada masanya kami menanti waktu ini kerana mahu mengambil peluang beriadah di tepi sungai bersama keluarga,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.