Tumpuan :
Nasional

Sumber manusia antara agenda utama – Panglima Angkatan Tentera

Panglima Angkatan Tentera Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar. – Foto Ihsan ATM

KUALA LUMPUR: Aspek sumber manusia antara agenda yang bakal diberi keutamaan Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu dilantik, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar.

Beliau berkata, aspek tenaga kerja dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) penting bagi memastikan tiga cabang perkhidmatan meliputi Tentera Darat (TD), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus diperkasakan.

“Mengambil alih jawatan ini adalah cabaran terbesar, ini termasuk bagi menguruskan persepsi.

“Matlamat saya adalah untuk meneruskan kemajuan semasa yang sudah dicapai dan membawa ia ke peringkat seterusnya.

“Satu daripada aspek yang menjadi keutamaan saya adalah sumber manusia. Ini penting bagi memastikan kita kekal sebagai pasukan yang terus diyakini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Nizam Jaffar dilantik sebagai PAT Ke-23, berkuat kuasa hari ini.

Lantikan Mohd Nizam itu dibuat bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang bersara wajib selepas berkhidmat hampir empat dekad bersama ATM.

Beliau adalah individu kedua dilantik sebagai PAT yang bukan dalam kalangan Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara sedia ada, selepas Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail yang juga PAT Ketiga.

Mohd Nizam berkata, ATM ialah organisasi yang dinamik dan beliau berpandangan ia perlu lebih terbuka dalam usaha membolehkan orang ramai mendekati dan mengenali peranan perkhidmatan itu secara lebih dekat.

“ATM juga akan mempromosikan konsep ‘Whole Government, Whole of Society atau (WoGoS).

“Kita juga akan meneliti kembali bagaimana industri pertahanan boleh menjadi sebahagian daripada landskap industri yang ada di Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini