comscore
Tumpuan :
Nasional

“Sumandak” Sabah tampil bergaya dengan busana hasil jahitan ibu sendiri

Liane Melve Grace memilih untuk mengenakan pakaian yang dijahit ibunya sendiri yang bermotifkan etnik kontemporari suku kaum Murut. -FOTO Ihsan Maria Madelina Kiri

KUALA LUMPUR: Setiap Kali Istiadat Konvokesyen kita pasti boleh melihat graduan serta keluarga mengenakan pakaian yang segak, sesuai dengan suasana konvokesyen yang meriah dan warna-warni.

Ada yang membeli pakaian baharu dan tidak kurang juga yang menyewa semata-mata untuk menjadikan hari konvokesyen sebagai hari yang cukup istimewa.

Namun, bagi graduan yang berasal dari Sabah, Liane Melve Grace, 24, Istiadat Konvokesyen ke 100 kali ini memberi makna tersendiri selepas beliau memilih untuk mengenakan pakaian yang dijahit ibunya sendiri yang bermotifkan etnik kontemporari.

Liane Melve Grace bersama ibu bapa. -FOTO: Ihsan Maria Madelina Kiri

Lebih menarik, ‘Sumandak’ Sabah dari etnik Murut yang juga finalis Unduk Ngadau Kebangsaan 2024 berkongsi bahawa ibunya mengambil masa hanya tiga hari untuk menyiapkannya.

“Baju yang saya pakai sekarang adalah salah satu gaun kontemporari daripada etnik suku kaum di Sabah iaitu bangsa Murut. Ini adalah hasil tangan ibunya, dari A hingga ke Z.

“Kebiasaannya ibu saya akan mengambil masa seminggu untuk siapkan satu helai gaun. Namun, dia siapkan gaun ini hanya dalam tiga hari saja, khas untuk saya pakai pada Istiadat Konvokesyen hari ini,” kata Liane.

Finalis Unduk Ngadau yang mewakili daerah Tenom itu turut berkongsi rasa keterujaannya apabila mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di UiTM Kampus Rembau kerana ia merupakan pengalaman pertama beliau terbang ke Semenanjung Malaysia.

“Sebagai anak perantau yang belajar di semenanjung, terdapat perbezaan bahasa dan budaya di sekeliling saya. Namun saya masih boleh menyesuaikan diri dengan keadaan semasa,” jelas Liane.

Meskipun duduk jauh daripada tempat tinggal asal, namun semangat jati diri Liane patut dicontohi oleh anak-anak muda dalam usaha memelihara warisan bangsa dengan komited untuk generasi akan datang.

“Saya merupakan salah seorang pejuang bangsa Murut di Sabah. Jika ditanya adakah saya berbangga untuk menjadi bangsa Murut atau tidak, saya sebenarnya amat bangga dengan asal-usul saya.

Liane Melve Grace merupakan finalis Unduk Ngadau Kebangsaan 2024. -FOTO Ihsan Maria Madelina Kiri

“Saya tidak kisah andai kata kalau naik kapal terbang perlu bawa ini berat berat (pakaian tradisional), saya tidak kisah. Yang penting, saya nak tunjuk kepada orang luar di sana bahawa saya berasal dari bangsa Murut”, kata Liane.

Walaupun dalam kesibukan bekerja, Liane masih lagi melibatkan diri dalam aktiviti masyarakat bersama komuniti setempat iaitu menguruskan kelas Bahasa Murut dari tempat ke tempat yang lain.

Menurut Liane, ini bertujuan untuk menarik minat golongan belia yang mempunyai keinginan mempelajari bahasa Sabah.

“Sebenarnya, ramai anak-anak muda mahu belajar bahasa ini, cumanya tidak tahu mahu mula dari mana. Jadi, sebagai Unduk Ngadau, saya menggunakan platform ini sebaiknya untuk memperkenalkan kelas bahasa ini kepada mereka,” jelasnya.

Loading...
Terkini