Tumpuan :
Nasional

Sultanah Kelantan dahului senarai 769 penerima darjah kebesaran negeri

Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah mendahului senarai 769 penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V ke-53. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah mendahului senarai 769 penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V ke-53.

Dalam istiadat di Istana Balai Besar, di sini hari ini, Nur Diana Petra yang dikurniakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan menerima Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Al-Yunusi (DK).

Kerabat diraja Brunei, Pengiran Muda Mohamed Bolkiah Omar Ali Saifuddien juga dikurniakan DK dan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK), membawa gelaran Datuk.Che Puan Mahkota Kelantan, Che Puan Sofie Louise Johansson Petra juga dikurniakan SPMK, manakala Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra dikurniakan gelaran Tengku Bendahara Kelantan.

Tiga individu dikurniakan Darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) membawa gelaran Datuk, iaitu Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK), juga membawa gelaran Datuk.

Penerima tunggal bagi darjah Seri Paduka Jasa Mahkota Kelantan (SPJK) yang turut membawa gelaran Datuk adalah bekas Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Zulkifli Omar.

Dua belas individu menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) membawa gelaran Datuk, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr Izani Husin serta bekas Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tujuh menerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) juga membawa gelaran Datuk, termasuk Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Rashidin Hashimi Ab Rashid; Pengarah Markas Tentera Darat, Jabatan Arah Artileri, Brig Jen Datuk Zulmajdi Yunus dan Panglima Briged Ke-8 Infantri Malaysia, Brig Jen Datuk Abu Hasan Assha’ari Kamis @ Shaffiee.

Turut membawa gelaran Datuk adalah Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang dikurniakan kepada 18 penerima, antaranya Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Abdul Haris Muhammad; bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim.

Dua penerima Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK), juga membawa gelaran Datuk adalah Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Loading...
Terkini