Tumpuan :
Nasional

Sultanah Kelantan berkenan nama dipatenkan pada bunga Orkid

Foto: NSTP

KOTA BHARU: Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra berkenan memilih nama baginda untuk dipatenkan sebagai nama bunga orkid iaitu Orkid Vandachostylis Sultanah Nur Diana Petra.

Paten itu dibuat secara rasmi untuk Sultanah Kelantan oleh kerajaan Kelantan dengan Persatuan Hortikultur Diraja yang berpangkalan di United Kingdom pada 4 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata bunga berkenaan dipilih sendiri oleh Sultanah Kelantan selepas dipersembahkan beberapa pilihan termasuk nama.

“Bunga orkid berkenaan ialah bunga antarabangsa dan ia tidak boleh didaftarkan secara sembarangan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pesta Flora Negeri Kelantan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-55 di Taman Perbandaran Tengku Anis di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultanah Nur Diana berkenan merasmikan pesta flora tersebut dan baginda turut meluangkan masa hampir dua jam melawat tapak pameran.

Orkid Vandachostylis Sultanah Nur Diana Petra telah dihasilkan daripada kacukan Vandachostylis Prapawan sebagai induk betina dengan Vanda Ratchaburi Blue sebagai induk jantan yang dilakukan pada Julai 2021 dan berbunga buat kali pertama pada 8 Mac lepas.

Bunga itu berwarna ungu biru dan merah manggis (maroon) dengan bahagian bibir (labellum) berwarna putih. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini