Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor zahir rasa sedih atas pemergian Adiguru Kraf Ukiran Halus

Sultan Sharafuddin bersama Allahyarham Norhaiza. – FOTO: Ihsan Selangor Royal Office / Facebook

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas pemergian Tokoh Kraf Negara Norhaiza Noordin yang meninggal dunia semalam.

Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda sentiasa kagum dengan kebolehan dan ketelitian Allahyarham sebagai seorang pengukir kayu tradisional hingga dikenali di peringkat antarabangsa dan menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara pada 2022.

“Semasa hayatnya, Allahyarham banyak menghasilkan ukiran kayu yang ditempah khas oleh Tuanku Sultan khususnya keris serta rehal yang kini dipamerkan sebagai koleksi peribadi baginda di Istana Alam Shah, Klang.

“Antara karya terulung Allahyarham ialah apabila diminta menghasilkan ukiran untuk hiasan dalaman Dewan Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom,” menurut hantaran itu.

Baginda turut berkenan menzahirkan ucapan takziah kepada waris serta keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh Adiguru Kraf Ukiran Halus itu ditempatkan dalam kalangan para solihin.

Norhaiza, 61, yang menghembuskan nafas terakhir pada 6.13 pagi akibat masalah jantung di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di Kota Bharu, Kelantan meninggalkan seorang isteri dan dua anak, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Jertih, Terengganu petang semalam. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini