Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor zahir rasa dukacita tahap kebersihan Bandar Raya Diraja Klang

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua dari kiri) diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) dan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad (tengah) menyampaikan Anugerah Masjid Terbaik Negeri Selangor kepada penerima ketika merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang di Bandar Botanik, Klang. – FOTO: NSTP

KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa kekesalan dan dukacita dengan tahap kebersihan di Bandar Raya Diraja Klang di sini.

Meskipun bangga melihat nilai sejarah serta pembangunan pesat di bandar raya itu namun baginda bertitah terdapat banyak kawasan yang masih kotor dan tidak teratur termasuk sungai yang dicemari teruk dengan sampah sarap.

“Beta banyak menerima rungutan daripada orang ramai terutama para pelancong dalam dan luar negara termasuk pelancong kapal pelayaran yang masuk melalui pintu masuk utama Pelabuhan Klang menyatakan pemandangan di Pelabuhan Klang dan Bandar Raya Diraja Klang begitu tercemar dengan sampah sarap dan amat menjijikkan.

“Tidak guna kita berbangga dengan pencapaian pembangunan yang pesat, jika perkara asas berkaitan kebersihan pun kita gagal laksanakan dan mengatasinya,” titah baginda sempena perasmian Masjid Jamek Cina Muslim Klang di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah sungai yang dipenuhi sampah sarap dan longkang-longkang tersumbat yang tidak dijaga dengan rapi telah mengakibatkan banjir sering berlaku di bandar raya itu.

Baginda bertitah sudah berkali-kali menegur serta menasihati pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri untuk mengambil langkah efektif dan perancangan rapi dalam mengatasi masalah banjir di Bandar Raya Diraja Klang dan beberapa daerah lain di Selangor, namun sehingga kini, banjir tetap berlaku berulang kali setiap tahun.

“Tak kanlah kita nak gunakan alasan bahawa banjir berlaku disebabkan perubahan iklim atau tahap penurunan hujan yang tinggi dan luar biasa akibat daripada perbuatan Tuhan (act of God).

“Beta sudah penat untuk mengingatkan masalah ini kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan setiap tahun, namun semuanya tiada diambil peduli umpama ‘mencurah air di daun keladi’ sahaja. Kenapa masalah ini tidak dapat kita selesaikan?” soal baginda.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin bertitah tiada yang mustahil dan tiada masalah di dunia tidak boleh diselesaikan, jika pihak berkenaan bersungguh-sungguh dan ikhlas melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“Beta difahamkan berjuta-juta ringgit peruntukan telah dikhaskan bagi mengatasi masalah banjir untuk jangka pendek dan jangka panjang namun seolah-olah tiada hasilnya langsung.

“Beta ingin menegaskan sekiranya sesuatu kontraktor diberikan tanggungjawab bagi melaksanakan projek untuk mengatasi masalah banjir ini gagal melaksanakan amanah diberikan dengan berkesan, kerajaan Beta seharusnya melantik kontraktor lain yang lebih berwibawa dan mampu untuk mengatasi masalah banjir ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan semua pihak supaya belajar daripada kesilapan lalu terutama ketika bencana banjir pada Disember 2021 yang hampir melumpuhkan sebahagian daerah di negeri Selangor dan cuba memperbaikinya demi kepentingan rakyat.

Baginda kemudian menitahkan Majlis Bandaraya Diraja Klang dan kerajaan negeri untuk mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah banjir di Selangor dan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan kewangan yang dikhaskan untuk mengatasi masalah berkenaan.

Sultan Sharafuddin juga menitahkan supaya satu pelan menyeluruh dirangka dengan segera dan pasukan petugas dibentuk bagi mengatasi masalah banjir di Selangor, selain mahu tindakan segera diambil bagi meningkatkan kadar kebersihan di Klang.

“Beta mahu melihat hasilnya dalam masa yang terdekat. Selepas ini, Beta tidak mahu mendengar lagi apa-apa alasan diberikan jika gagal mengatasi masalah yang melanda,” titah baginda. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini