SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pembentukan sebuah jawatankuasa berhubung pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan dari Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).
Selangor Royal Office menerusi hantaran di laman Facebook memberitahu, jawatankuasa berkenaan akan bertanggungjawab bagi penghasilan kertas kerja yang terperinci untuk mengenalpasti kaedah pemulihan terbaik melibatkan lebih 600 kanak-kanak yang terlibat.
“Sultan Sharafuddin turut bertitah supaya jawatankuasa itu diwujudkan segera dan tidak dilengah-lengahkan kerana ia membabitkan masa hadapan kanak-kanak yang terlibat.
“Jawatankuasa ini kelak akan melapor terus kepada Sultan Selangor serta bertanggungjawab memulihkan kanak-kanak ini, seterusnya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat dalam tempoh yang ditetapkan,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah di Istana Bukit Kayangan di sini.
Turut diterima menghadap, Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Senator Datuk Salehuddin Saidin.
Semalam, media melaporkan seramai 662 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang terkait GISBH mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kesemua 662 kanak-kanak yang diselamatkan melalui beberapa operasi yang telah berjalan kini telah mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan, itu terkini,” katanya pada sidang media mingguan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.