Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor titah LZS salur zakat bagi pemulihan ahli GISBH

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah merasmikan Menara Zakat Sultan Idris Shah di Shah Alam. – FOTO: NSTP

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk memperuntukkan bantuan asnaf riqab bagi pemulihan ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Baginda bertitah, LZS hendaklah mengagihkan zakat kepada golongan asnaf sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 60.

“Huraian kepada lapan asnaf yang berhak menerima agihan zakat hendaklah dirujuk kepada fatwa yang telah diputuskan.

“Lebih-lebih lagi dalam proses pemulihan golongan yang terlibat dengan ajaran salah seperti ini, zakat boleh disalurkan kepada golongan ini melalui bantuan asnaf Ar Riqab.

“LZS hendaklah memperuntukkan dana khusus yang sewajarnya untuk tujuan pemulihan golongan ini bagi memperbetulkan dan meluruskan aqidah mereka,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin menegaskan, zakat merupakan ibadah yang disyariatkan bagi mengangkat martabat umat Islam.

Baginda mengingatkan kepada semua peringkat kutipan zakat termasuk amil-amil agar sentiasa jujur dan amanah serta menjaga integriti dan memastikan tiada penyalahgunaan kuasa kerana ia adalah merupakan satu dosa yang amat besar.

“Beta amat menitikberatkan soal kejujuran dan integriti semua warga LZS dan menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang didapati menyeleweng dan tidak amanah di dalam menjalankan urusan dan tanggungjawab mereka termasuklah mengheret mereka ke mahkamah untuk diadili,” titahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini