Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor titah ADUN elak guna bahasa kasar, perangai tak bertamadun ketika berdebat

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) menerima menghadap Speaker DUN Selangor, Lau Weng San di Istana Bukit Kayangan. – Foto: Selangor Royal Office

SHAH ALAM: Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor berdebat dengan sopan dan mengelakkan sikap tidak bertamadun dalam persidangan Dewan.

Sultan Selangor juga menitahkan agar Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) meneruskan kesinambungan mereka yang menggalas jawatan itu sebelum ini untuk mengendalikan persidangan Dewan dengan adil, lancar dan tidak berat sebelah.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika menerima menghadap Speaker DUN Selangor, Lau Weng San di Istana Bukit Kayangan, di sini.

“Pada pertemuan itu, baginda menitahkan agar Weng San meneruskan kesinambungan speaker DUN terdahulu dalam mengendalikan perjalanan sidang Dewan dengan adil, lancar dan tidak berat sebelah.

“Baginda juga mahu agar suasana perdebatan ketika sidang Dewan, berlangsung dengan tertib dan mengikut peraturan tanpa dicemari dengan penggunaan bahasa kasar dan tidak sopan serta perangai-perangai yang boleh dianggap sebagai tidak bertamadun.

“Baginda turut memberi pujian dan penghargaan kepada speaker-speaker terdahulu daripada DAP yang dilantik sejak 2008, yang berjaya mengawal keadaan setiap kali sidang berlangsung,” menurut kenyataan itu.

Weng San yang juga bekas ADUN Banting dilantik sebagai Speaker DUN Selangor, berkuat kuasa 19 September lalu bagi menggantikan ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor dan kini EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri.

Dua lagi bekas Speaker DUN Selangor mewakili DAP sebelum ini adalah bekas ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim serta bekas ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh yang kini Ahli Parlimen Segambut merangkap Menteri Belia dan Sukan.

Weng San dijangka memulakan tugas mengendalikan persidangan DUN Selangor yang dijadualkan pada 14 hingga 17 November dan 20 hingga 24 November.

DUN Selangor juga akan mendengar pembentangan belanjawan negeri yang dijadualkan pada 10 November depan, bersekali dengan persidangan Dewan yang dijadual berlangsung selama dua minggu.

Loading...
Terkini