![](https://media.buletintv3.my/2025/02/SULTAN-SELANGOR.jpg)
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tegas tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan berlainan agama khususnya di negeri itu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, baginda berpandangan cadangan berkenaan dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian.
Titah baginda, ketika ini rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.
Polemik yang tercetus telah sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ia pastinya akan menjejaskan keharmonian yang sedia terjalin.
Tegas baginda, Islam menerusi Al-Quran dan sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.
Justeru, baginda percaya umat islam kini tahu tentang batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan.
Dalam masa sama, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama persekutuan.
Bagaimanapun, baginda menasihatkan umat Islam khususnya di Selangor agar sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim menjelaskan, tiada keperluan untuk menetapkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam.
Keputusan Kabinet berhubung mesyuarat itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.