SERDANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan baginda tidak bersetuju dengan cadangan untuk menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kembali kepada Universiti Pertanian Malaysia.
Baginda bertitah, cadangan itu tidak dirujuk terlebih dahulu kepada baginda selaku Canselor UPM dan juga kepada Lembaga Pentadbir Universiti.
“Nama Universiti Putra Malaysia harus dikekalkan kerana beta telah melancarkan jenama ‘Putra’ yang bermaksud Pertanian Untuk Rakyat,” titah baginda ketika menghadiri Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 di Dewan Besar, PKKSSAAS, UPM, hari ini.
Baginda turut mengingatkan bahawa nama tersebut dipilih untuk memperingati Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.
“Beta ingin menasihati pihak yang kurang memahami sejarah agar menyemak fakta sebelum membuat kenyataan, terutama yang melibatkan institusi ini,” titah baginda.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengumumkan hasrat membawa cadangan penukaran nama UPM ke Mesyuarat Kabinet.
Beliau menyatakan, langkah itu selaras dengan keutamaan negara terhadap keterjaminan makanan dan pengembangan sektor pertanian.
Nama UPM ditukar daripada Universiti Pertanian Malaysia pada 3 April 1997 untuk mencerminkan statusnya sebagai institusi yang menawarkan pelbagai bidang pengajian, termasuk sains dan teknologi maklumat, selain pertanian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.