Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor telah disembah maklum surat permohonan maaf Sanusi

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum dengan surat permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pejabat Sultan Selangor menerusi Facebook Selangor Royal Office menyatakan surat bertarikh 25 September 2024 itu antaranya memuatkan permohonan ampun di atas kenyataan Sanusi seperti yang dipertuduhkan terhadapnya di mahkamah, yang dianggap menghina dan tidak menghormati Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Menurut surat itu, beliau turut mengakui bahawa kenyataan itu telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Beliau benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan itu,” menurut hantaran berkenaan.

Semalam, media melaporkan Sanusi sekali lagi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.

Itu adalah permohonan maaf kedua oleh Menteri Besar Kedah itu kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini