comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor Seru Hayati Intipati Khutbah Jumaat ‘Pemimpin dan Negara’

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mengingatkan pemimpin yang hanya mahukan kuasa dan mencari kekayaan dunia akan menjadi perosak dan pengkhianat kepada rakyat dan negara.

“Pemimpin yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah akan menyebabkan mereka terjerumus ke dalam aktiviti bersifat munafik dan kemaksiatan seperti amalan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan menyebarkan fitnah yang mengakibatkan kerosakan sebuah kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office .
Titah baginda itu senada dengan khutbah Jumaat yang disampaikan khatib di masjid-masjid di negeri Selangor hari ini bertajuk ‘Pemimpin dan Negara’.

Justeru, baginda menyeru rakyat khususnya umat Islam agar dapat menghayati dan memahami intipati khutbah berkenaan.

Baginda juga menegaskan pemimpin yang khianat, menipu dan menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan pasti akan dibenci rakyat dan dikutuk oleh Allah SWT kerana boleh menjahanamkan negara.

“Rosaknya pemimpin maka rosaklah negara ibarat kata pujangga ‘jika keruh air di hulu, maka keruhlah ia di hilir’,” titah baginda.

Sebaliknya pemimpin berintegriti, jujur dan beramanah bukan sahaja akan mengubah landskap dan ekosistem kehidupan bermasyarakat.

“Pemimpin ini akan memacu negara untuk mencapai matlamat yang dirangka agar menjadi sebuah negara mampan, stabil, dihormati dan beridentiti.

“Bukannya sebuah negara yang dikenali dengan kemunafikan, penuh dengan isu dan kontroversi salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah, pengkhianatan serta adu domba yang merosakkan penjanaan keutuhan dan perpaduan bangsa dan negara.

“Insan terbaik yang sangat kita cintai, iaitu junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, menonjolkan dirinya sebagai ikon hamba Allah yang berintegriti tinggi, sehingga dikenali dengan gelaran ‘al-Amin’, iaitu ‘yang sangat dipercayai’ dalam kalangan masyarakat Islam ketika itu,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, integriti berlandaskan nilai Islam yang berpaksikan kepada kekuatan akidah, syariah dan akhlak adalah penyelesaian terbaik kepada kerosakan dan kemelut yang berlaku dalam diri, organisasi dan negara hari ini.

“Sedarlah wahai pemimpin, janganlah kamu menjadi pengkhianat terhadap amanah yang diberikan.

“Sifat jujur dan amanah hendaklah menjadi identiti yang sebati dalam diri pemimpin. Pemimpin hendaklah menyerlahkan bukan sahaja kelembutan budi bahasa, tetapi kemuliaan akhlak dari sudut kejujuran dan keikhlasan serta boleh diyakini dan dapat dipercayai oleh rakyat bahkan mengundang kehormatan daripada negara lain di dunia.

“Pada masa yang sama, pemimpin yang jujur dan amanah pastinya seorang pemimpin yang bukan sahaja jujur kepada orang lain, bahkan pada diri sendiri” titah baginda.

Loading...
Terkini