Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor sempurnakan Larian KITA, Tengku Zafrul turut hadir

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin (kanan) berkenan melepaskan program Larian KITA @ Bagan Terap, Sungai Besar hari ini. Hadir sama Tengku Zafrul. – FOTO: NSTP

SUNGAI BESAR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan program Larian KITA @ Bagan Terap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, hari ini.

Turut berangkat ke program itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

 

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sultan Sharafuddin berkenan melepaskan larian bagi peserta kategori jarak lima kilometer (KM) disusuli pelepasan peserta kategori tiga kilometer.

Pada masa sama, Tengku Amir Shah berkenan menyertai larian sejauh lima kilometer bersama orang ramai.

Pelbagai acara sampingan diadakan sepanjang program seperti permainan tradisional, pembukaan gerai makanan di kawasan aktiviti dan cabutan bertuah.

Sementara itu, Tengku Zafrul ketika ditemui berkata, program itu julung kali diadakan di daerah Sabak Bernam dengan penyertaan seramai kira-kira 2,500 peserta.

“Terima kasih kepada Tuanku Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Selangor dan Raja Muda Selangor yang hadir pada hari ini.

“Insya-Allah, program yang sama akan diadakan selepas ini di daerah Klang,” katanya sambil menambah dana yang dikutip menerusi Larian KITA untuk penduduk setempat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, objektif program itu adalah untuk memupuk budaya inklusif dan sihat serta menyemarak kesedaran mengenai kawasan seperti Sabak Bernam yang terkenal dengan pelancongan dan pertanian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini