SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kesal dan dukacita apabila semakin ramai umat Islam terperangkap dengan maklumat salah walaupun banyak buku berkaitan agama Islam dikarang dan dicetak dalam Bahasa Melayu di samping penjelasan oleh ilmuan Islam.
Sultan Sharafuddin juga mendapati, umat Islam begitu mudah terpengaruh dengan dakyah ajaran sesat dan menyeleweng yang dibawa pihak tidak bertanggungjawab.
“Di manakah silapnya kita sehingga kes yang melibatkan pengikut ajaran sesat semakin menjadi-jadi di negara kita ketika ini.
“Umat Islam akan ketinggalan di segala aspek kehidupan jika asyik terpedaya dengan ajaran agama yang berasaskan kepada unsur-unsur kurafat dan tahyul.
“Akibat daripada pengaruh-pengaruh yang menyesatkan ini menyebabkan umat Islam semakin berpecah-belah dan mudah ditindas oleh musuh-musuh Islam,” titah baginda.
Baginda bertitah ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1446H/2025M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini malam ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, dalam dunia moden tanpa sempadan hari ini, pelbagai kaedah tersedia untuk mendapatkan maklumat sahih, khususnya berkaitan agama Islam menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Kebanyakan buku-buku berkaitan agama Islam di negara kita ini dicetak dan diterjemahkan dalam Bahasa Melayu termasuk juga di laman-laman sesawang jika dibandingkan ketika zaman Beta belajar agama dahulu.
“Umat Islam sekarang pada hakikatnya amat mudah untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama Islam sebenar dengan adanya buku-buku agama Islam terjemahan Bahasa Melayu di pasaran,” titah baginda.
Titah baginda, dalam urusan beragama, baginda berpesan agar umat Islam hendaklah sentiasa merujuk pihak berautoriti dalam urusan agama dan jangan mudah percaya dan terpengaruh dengan ajaran atau fahaman songsang yang dibawa sesetengah pihak.
“Perpaduan perlu menjadi teras utama kepada kehidupan umat Islam khususnya orang-orang Melayu,,” titah baginda.
Pada masa sama baginda menitahkan agar pihak berkuasa agama Islam perlu lebih peka di dalam menangani masalah ini.
“Tindakan undang-undang dan penguatkuasaan perlu diambil dengan lebih berkesan agar gejala ajaran sesat ini tidak terus menjadi duri dalam daging dalam kalangan umat Islam di negara ini hingga membawa kepada perpecahan,” titahnya.
Baginda turut mengajak seluruh umat Islam agar terus meningkatkan pembacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian dan memperbanyakkan amal ibadah.
Dalam titah ucapan itu, baginda menzahirkan rasa yakin dan percaya, peserta yang menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran adalah mereka yang sentiasa berdamping dengan Al-Quran, hasil didikan ibu bapa dan guru-guru yang terbaik.
“Beta amat merasa sukacita melihat ramai di kalangan anak-anak muda yang celik Al-Quran dan mendalami ilmu Al-Quran terutama di negeri Selangor ini.
“Semoga dengan kehadiran kita semua dalam majlis seumpama ini, akan menjadi sebab dan pencetus dalam diri kita untuk sentiasa berdamping bersama Al-Quran,” titah baginda.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.