
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima sumbangan wakaf bernilai RM401,986.55 dalam Majlis Ihya’ Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui Datuk Bandar, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim menyerahkan cek cura berjumlah RM50,000.
Ia menjadikan MBSA Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama yang melazimi ibadah wakaf melalui Wakaf Tunai Korporat PBT.
Dalam masa yang sama juga Tabung Infaq Jariah Umat Islam Negeri Selangor (TIJARI) turut menyerahkan cek cura melalui Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dengan jumlah RM351,986.55 bagi tujuan Pembangunan Pendidikan TIJARI.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Anuar Hamzah Tohar menjunjung kasih kepada Sultan Selangor yang berkenan mencemar duli menerima menghadap pewakaf dan juga menerima sumbangan wakaf yang telah diserahkan pada majlis berkenaan.
“PWS menzahirkan penghargaan terima kasih tidak terhingga kepada pewakaf yang telah melaksanakan ibadah ini, khususnya dalam bulan yang mulia iaitu Ramadan.
“Dengan dimulai oleh MBSA yang telah melaksanakan ibadah wakaf ini, saya mengharapkan agar PBT yang lain dapat turut serta dalam berwakaf ini, Insya-Allah.
“Bulan ini juga adalah Bulan Wakaf Negeri Selangor, justeru PWS menyeru kepada semua masyarakat khususnya di Negeri Selangor untuk melazimi Ibadah Wakaf yang merupakan satu amalan yang dituntut dan menjamin ganjaran pahala yang berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam majlis yang sama, Wakaf Selangor Muamalat (WSM) menyerahkan Replika Kunci Klinik Pergigian Bergerak kepada Fakulti Pergigian Universiti Malaya.
Anuar Hamzah berkata, PWS sudah bekerjasama dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) sejak tahun 2012 yang dikenali sebagai WSM.
“Klinik pergigian bergerak ini adalah inisiatif WSM bagi memastikan jariah pewakaf dapat dipanjangkan serta memberi manfaat kepada pesakit-pesakit yang akan menerima rawatan gigi di sini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.