Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor berkenan lantik Salehuddin sebagai Pengerusi MAIS yang baharu

Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Senator Datuk Salehuddin Saidin.

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menitahkan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengambil alih jawatan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkuat kuasa mulai 1 Mac depan.

Setiausaha Sulit Kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda menitahkan Salehuddin melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai Pengerusi MAIS, berikutan pengunduran Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof atas faktor kesihatan.

“Pengisian jawatan Pengerusi MAIS ini hendaklah dilaksanakan dengan segera kerana baginda amat mengambil berat pentadbiran dan pengurusan serta pembangunan institusi agama Islam demi untuk pembangunan dan syiar Islam di negeri Selangor.

“Sultan Selangor mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Aziz yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Pengerusi MAIS dengan baik dan cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatannya sejak 2021.

“Baginda mendoakan semoga Tan Sri Abdul Aziz sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT dikurniakan kesembuhan dan kesihatan yang baik,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Selangor di sini ini.

Salehuddin yang juga Ahli MAIS sejak 2007, turut memegang jawatan sebagai Ahli Dewan di-Raja Selangor sejak 2016 dan Ahli Jawatankuasa Khas bagi Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam bermula 2013.

Beliau juga mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada Julai tahun lalu berkuat kuasa hingga 21 Julai 2027.

Salehuddin dilahirkan pada 8 Mei 1963, berasal dari Perak dan memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya.

Beliau yang mengetuai firma guaman, Tetuan Salehuddin Saidin & Associates, pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam pentadbiran undang-undang.

Antaranya sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Unit Jenayah Komersial di Jabatan Peguam Negara pada 1994 hingga 2001 dan Ketua Unit Pendakwaan Negeri Selangor (2003-2006).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini