Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor berkenaan rasmi Menara Zakat Sultan Idris Shah

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan merasmikan Menara Zakat Sultan Idris Shah sambil disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) serta Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail di Shah Alam. – FOTO: NSTP

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan ibu pejabat baharu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Menara Zakat Sultan Idris Shah di Persiaran Bandar Raya, Seksyen 14 di sini, hari ini.

Ketibaan baginda jam 3.30 petang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin disambut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Turut hadir, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Baginda bertitah menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian pengurusan LZS yang menjadi contoh ikutan kepada negara luar.

“Apa yang membanggakan Beta, pengurusan Zakat Selangor juga telah menjadi contoh ikutan kepada banyak negara seperti Indonesia, Thailand dan beberapa buah negara lain dan tertarik melihat inovasi zakat di Selangor yang telah memberi manfaat yang cukup banyak kepada umat Islam.

“LZS harus sentiasa melihat kepada kaedah bantuan terbaik kepada para asnaf dan bagaimana ia mampu membina kehidupan mereka secara berdikari dan konstruktif berpandukan peraturan dan panduan syarak,” titah baginda.

Baginda juga berkenan melafazkan titah perasmian sebelum menandatangani plak perasmian bagi menyempurnakan acara itu.

Sementara itu, menurut Syed Anwar, ibu pejabat baharu itu direka khusus bagi memenuhi kemudahan Asnaf dan Muzakki.

“Ia bakal berfungsi sebagai pusat sehenti yang menggabungkan semua perkhidmatan bagi memastikan layanan terbaik dapat diberikan termasuk kaunter pandu lalu untuk melancarkan urusan kutipan dan pengagihan zakat bagi memberikan keselesaan kepada pembayar dan penerima zakat,” katanya.

Ibu pejabat itu juga dilengkapi kios layan diri bagi memudahkan pelanggan membuat pembayaran dan permohonan bantuan zakat dengan lebih efisien sekali gus mengurangkan masa menunggu dan mempercepatkan proses urusan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini