comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Pahang titah kerajaan Pusat pertimbang semula pembinaan projek R&R di LTU

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – FOTO: Kesultanan Pahang/ Facebook

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan Pusat melalui Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan projek Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang hari ini, Al-Sultan Abdullah bertitah, keputusan tidak melaksanakan satu daripada komponen penting dalam projek lebuh raya itu dilihat akan menyukarkan usaha penyelesaian beberapa isu berkaitan antaranya keperluan asas orang ramai yang menggunakan lebuh raya.

Baginda menegaskan bahawa keperluan R&R di lebuh raya itu akan dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna sekali gus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotoran di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.

“Baginda berharap agar pihak berkaitan dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur tersebut bagi kepentingan orang ramai terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah,” menerusi hantaran itu.

Terdahulu, kerajaan negeri terkilan apabila satu daripada komponen penting dalam projek LTU itu tidak dilaksanakan, walaupun terdapat dalam skop projek dan hanya penyediaan platform serta infrastruktur yang dilaksanakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebelum ini berkata, kerajaan negeri sudah membuat permohonan supaya kemudahan itu dibina bagi memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna dalam mendapatkan kemudahan rehat sepanjang pemanduan.

“Meskipun kos pembinaan R&R mencecah dua kali ganda daripada anggaran kos asal, kerajaan negeri berharap KKR dan Kementerian Ekonomi memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur ini,” kata Wan Rosdy.

Pembinaan LTU sepanjang 299.4 kilometer yang membabitkan enam pakej dengan kos keseluruhan RM7.7 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini