comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Pahang tinjau banjir di Temerloh melalui udara

FOTO: Ihsan Kesultanan Pahang / Facebook

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau keadaan terkini banjir melalui udara di daerah Temerloh terutamanya di sekitar Kampung Batu Kapur.

Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini memuat naik gambar baginda yang mengambil kesempatan untuk melihat sendiri kawasan berkenaan selepas terjejas teruk akibat banjir sejak beberapa hari lalu.

Terdahulu, ketika keberangkatan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan, Temerloh pada 15 Oktober lalu, baginda menitahkan agar semua pihak bersabar dalam mendepani musibah ini dan patuh kepada setiap arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan musim banjir kali ini lebih awal berlaku. Saya harap semua penduduk dengar arahan pegawai kerajaan.

“Jika perlu pindah, jangan ingkar. Pihak kerajaan juga perlu lebih proaktif dan tidak pilih kasih dalam menyalurkan bantuan,” titah baginda.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Temerloh menunjukkan penurunan iaitu 1,418 mangsa daripada 411 keluarga setakat jam 4 petang ini, berbanding 1,751 mangsa daripada 529 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berkata, daripada jumlah itu, PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan merekodkan jumlah terbesar iaitu 691 mangsa.

Ia diikuti 518 mangsa berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Bakti, SMK Mentakab (65 mangsa), SK Bukit Cermin (96 mangsa), SMK Bukit Cermin (37 mangsa) dan SK Mentakab (11 mangsa).

Semakan di laman sesawang rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati, paras Sungai Semantan di Jambatan Kereta Mentakab, Temerloh pada paras waspada iaitu 34.72 meter pada jam 5 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini