![](https://media.buletintv3.my/2024/03/YUBDRQSR-BTV3-WORK-1.jpg)
CAMERON HIGHLANDS: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap kerja pembaikan cerun runtuh di Kampung Orang Asli Sungai Ruil, di sini dapat disiapkan dengan segera mengikut jadual supaya mangsa dapat pulang ke rumah masing-masing.
Baginda menegaskan, pihak yang menjalankan kerja berkenaan perlu melakukan kerja dengan sebaik mungkin bagi memastikan kejadian cerun runtuh tidak terus berulang.
“Saya juga berharap kejadian cerun runtuh tidak berlaku lagi di Kampung Sungai Ruil…saya masih ingat kes pertama tanah runtuh berlaku di kampung berkenaan pada 2021…saya melawat tempat kejadian.
“Kejadian tanah runtuh sering berlaku di Cameron Highlands membabitkan kawasan bukit termasuk tepi jalan setiap kali musim hujan, pihak berwajib perlu memberi perhatian yang serius,” titah baginda ketika menyantuni penghuni Rumah Transit Mangsa Cerun Runtuh Kampung Orang Asli Sungai Ruil, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Noor; Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang dan Pengurus Besar TNB Pahang, Affendi Ab Rahman.
Baginda bertitah, 17 Orang Asli yang terjejas dengan kejadian tanah runtuh itu diharap selesa tinggal sementara di rumah transit, mereka perlu berterima kasih pada kerajaan yang sentiasa berusaha memberi keselesaan tempat tinggal.
Baginda bertitah, projek perumahan Kampung Sungai Ruil adalah yang terbaik pernah disediakan kepada masyarakat Orang Asli dan berharap semua 157 pemilik rumah di situ tidak bertindak menjual dan menukar syarat rumah mereka.
“Rumah yang disediakan kerajaan khas untuk Orang Asli itu perlu dijaga dengan sebaik mungkin sambil melakukan selenggaraan secara berterusan,” titah baginda.
Sebanyak 17 keluarga membabitkan 88 isi rumah yang terbabit dengan kejadian cerun runtuh di Kampung Sungai Ruil pada Februari tahun lalu, kini ditempatkan sementara di kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sungai Ruil, Tanah Rata selama dua tahun.
Mereka hanya dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas kerja pembaikan cerun itu yang dijangka mengambil masa dua tahun siap sepenuhnya membabitkan peruntukan RM3.5 juta.
Bagi Norzalina Samsudin, 32, dia sekeluarga bersama beberapa mangsa lain berpindah ke kuarters TNB bulan lalu selepas mendapat arahan daripada tok batin, mangsa lain akan berpindah secara berperingkat.
“Saya menetap di tingkat bawah bangunan empat tingkat itu, dengan kemudahan dua bilik dan tandas ia memberi keselesaan pada setiap keluarga. Saya bersama mangsa lain dibenarkan tinggal di kuarters TNB selama dua tahun,” katanya yang tinggal bersama ibu dan bapanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.