Tumpuan :
Nasional

Sultan Pahang kurnia sumbangan kepada keluarga Farah Kartini

 

Tengku Amir Nasser menyampaikan kurniaan sumbangan Sultan Pahang kepada keluarga Nur Farah Kartini, ketika menziarahi kediaman kakak ipar Allahyarham di Kampung Nyiur Manis, Pekan hari ini.-Foto ihsan Kesultanan Pahang/ Facebook

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga mangsa bunuh, Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah.

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kurniaan itu disampaikan paduka anakanda Tengku Panglima Raja Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah yang menziarahi kediaman kakak ipar Allahyarham di Kampung Nyiur Manis, Pekan hari ini.

“Tengku Amir Nasser yang tiba pada 11 pagi meluangkan masa kira-kira setengah jam menyantuni ibu Allahyarham,

“Salmah Abdullah serta ahli keluarga lain yang turut berada di rumah berkenaan sebelum menyampaikan sumbangan,” menurut hantaran itu.

Tengku Amir Nasser turut menzahirkan ucapan takziah serta berharap ibu serta seluruh ahli keluarga Nur Farah Kartini bersabar dengan ujian diterima.

Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan pada 5.20 petang semalam di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang pada 15 Julai.

Seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini