KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini berangkat ke Istiadat Perbarisan Kehormatan sempena majlis Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-68 di Istana Iskandariah, di sini.
Turut berangkat menyaksikan istiadat itu adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pada acara penuh istiadat itu, Sultan Nazrin berkenan mencemar duli melakukan pemeriksaan pasukan kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro, Taiping di bawah pimpinan Kolonel Abdul Rahim Hamzah manakala Ketua Kawalan ialah Mejar Mohd Nurul Hasan.
Sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan oleh 41 Bateri Rejimen Altileri Diraja berpangkalan di Kem Sungai Buluh, Selangor yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani dibantu oleh Pegawai Tembakan Pemerhati, Kapten Zulkifli Maxtar dan Pegawai Tapak Meriam, Kapten Mohd Zamir Zulkifli.
Pegawai Panji-Panji Rejimen adalah Leftenan Muhamad Danial Efandi manakala Sarjan Mejar Rejimen ialah Pegawai Waran 1, Mohd Fairus Nizam Zabory.
Majlis istiadat penuh bersejarah itu turut diserikan dengan pancaragam mengiringi kawalan kehormatan dari pancaragam Brassband KD Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Lumut di bawah pimpinan Leftenan Diya Muhamad Ali Rajaie Nor Mohamed dan dibantu Band Sarjan Mejar Pegawai Waran II Pancaragam, Mohd Zulnizam Ismail serta Bintara Kanan Pancaragam, Yushamizul Mohd Yussof.
Hari ini, Sultan Nazrin dijadualkan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada seramai 59 penerima sempena ulang tahun hari keputeraan baginda kali ini.
Ia membabitkan Darjah Kebesaran Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP); Darjah Datuk Cura Si Manja Kini (DPCM); Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP); Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS); dan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP).
Antara penerima hari ini adalah penulis undangan akhbar New Straits Times (NST) yang juga Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Kumpulan PETRONAS, Abdul Rahim Mydin yang dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.
Selain itu, Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim yang baru-baru ini dilantik sebagai Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima Bhd (Media Prima) berkuatkuasa 1 November lalu, turut tersenarai sebagai seorang daripada 28 penerima darjah Paduka Mahkota Perak (PMP).
Baki selebihnya selepas 59 penerima hari ini daripada keseluruhan 213 penerima Darjah Kebesaran serta Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Nazrin kali ini, dibuat pada sesi kedua iaitu pada Sabtu, 16 November depan.
Hari Keputeraan Sultan Nazrin disambut pada hari Jumaat pertama bulan November iaitu pada 1 November lalu bagi tahun ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.