KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan pelancaran buku Polis Diraja Malaysia (PDRM): Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan Dalam Mengekalkan Keamanan Negara, di sini, hari ini.
Buku mengangkat sejarah dan pencapaian PDRM itu hasil tulisan Prof Dr Mohamad Thariq Hameed Sultan dan Shafie Abdul Rahman.
Ia diterbitkan dengan kompilasi bergambar disertakan huraian ringkas yang padat dengan pelbagai maklumat mengenai PDRM.
Buku itu meraikan perjalanan PDRM sebagai penjaga keamanan negara yang berkhidmat dengan penuh dedikasi, komited, tanpa mengenal erti lelah dan mengenepikan kepentingan peribadi.
Selain itu, ia mengangkat cabaran, pengorbanan serta kisah heroik warga PDRM dalam mempertahankan tanah air.
Pada majlis berkenaan baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Khas Buku Negara kepada tujuh penerima.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, inisiatif penghasilan buku itu akan menjadi sumber rujukan menyebarkan informasi berguna serta menginspirasi masyarakat untuk lebih peka dan meningkatkan semangat patriotisme cintakan tanah air.
Menurutnya, melihat kepada kematangan pasukan itu yang bertahan selama lebih dua abad, ianya didukung oleh semangat taat dan setianya kepada Raja dan Negara, yang menjadi pegangan utuh dalam jiwa setiap pegawai dan anggota Sang Saka Biru.
“Semangat kesetiaan inilah yang menjadi tonggak PDRM kekal ampuh sebagai agensi penguat kuasa tertua dan terulung negara serta sentiasa bersedia memikul amanah dan tanggungjawab menjadi benteng pertahanan menghadapi sebarang ancaman keselamatan yang mendatang.
“Sejarah perkhidmatan PDRM memberikan iktibar tentang pentingnya taat setia, disiplin, keberanian dan sinergi utuh dalam menghadapi pelbagai situasi yang mencabar.
“Menerusi sejarah, kita akan lebih memahami tugas dan tanggungjawab kita dalam usaha membina masyarakat yang harmoni dan berdaya tahan,” katanya dalam ucapannya di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar dan barisan kepimpinan tertinggi PDRM.
Sementara itu, Mohamad Thariq berkata, cabaran menghasilkan buku berkenaan lebih kepada mendapatkan fakta yang tepat namun pihaknya mendapat kerjasama dan sokongan daripada PDRM.
Menurutnya, buku itu diambil masa selama setahun sebelum dilancarkan untuk dijadikan bahan bacaan utama kepada masyarakat.
“Buku ini percuma dan akan diterbitkan sebanyak 30,000 hingga 40,000 naskhah untuk diagihkan ke sekolah dan universiti,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.