Oleh: Kumaran Rajamoney
BAGAN DATUK: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Masjid Tuminah Hamidi di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira jam 7 malam itu disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Sebaik tiba, Sultan Nazrin berkenan menanam pokok Bunga Tanjung sebelum merasmikan masjid tersebut.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengiringi Sultan Nazrin melawat pameran Al-Quran, kitab serta seni Islam, selain turut berbuka puasa bersama lebih 2,500 jemaah.
Sultan Nazrin turut berkenan menunaikan solat Maghrib, Isyak, dan solat sunat Tarawih secara berjemaah di masjid itu.
Masjid Tuminah Hamidi mula dibina pada tahun 2017 dengan kos kira-kira RM53 juta menggunakan dana Yayasan Al-Falah dan siap sepenuhnya pada tahun 2023.
Masjid tersebut dinamakan sempena nama ibu bapa Ahmad Zahid iaitu Allahyarham Raden Hamidi Abdul Fatah dan Allahyarhamah Tuminah Abdul Jalil.
Dibina dengan konsep masjid terapung di tepian Sungai Perak, masjid ini mampu menampung sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa.
Selain menjadi tarikan pelancong, ia turut dilengkapi dengan dataran terbuka, dewan serbaguna, bilik pameran, serta bilik persidangan dua tingkat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.