Tumpuan :
Nasional

Sultan Nazrin berkenan lawat makmal analisis NR-REE pertama negara

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan meninjau fasiliti dan pengoperasian makmal analisis NR-REE pertama negara, Terra Mineral Lab Sdn Bhd di Gopeng, hari ini. FOTO: MB Inc.

GOPENG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke makmal analisis mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) pertama negara, Terra Mineral Lab (TML) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 4 petang disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Dalam lawatan itu, Sultan Narzin dan Tuanku Zara berkenan mendengar taklimat keselamatan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Datuk Anuar Zainal Abidin sebelum dibawa meninjau fasiliti dan pengoperasian makmal.

Dalam pada itu, Saarani berkata TML yang beroperasi sepenuhnya di bawah seliaan MB Inc adalah makmal analisis NR-REE komersial pertama di Malaysia.

Beliau berkata, ia dilengkapi peralatan saintifik berteknologi tinggi bertaraf dunia yang berupaya menganalisis, mengenal pasti dan menentusahkan kandungan mineral, khususnya NR-REE.

“Makmal ini kini dikendalikan 15 pakar tempatan yang juga graduan terlatih dari universiti tempatan, membuktikan kejayaan dalam membangunkan bakat setempat.

“Pembangunan industri NR-REE ini bukan sahaja memanfaatkan ekonomi negeri, tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta meletakkan Perak di peta global industri mineral,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, TML kini menawarkan perkhidmatan analisis mineral kepada pelbagai pihak berkepentingan industri, bukan sahaja di Perak malah di seluruh negara.

Menurutnya, peranan TML sebagai pusat pangkalan data dan penanda aras rujukan negeri memperkukuhkan kedudukan Perak sebagai peneraju dalam industri NR-REE negara.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke kilang pusat pemprosesan (CPP) secara percubaan (POC), Malaco Minning Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Tungzen Kampung Kepayang, dekat Simpang Pulai.

Kilang pemisahan bahan galian kritikal itu mencapai kejayaan awal dengan berjaya mengasingkan empat kumpulan unsur nadir bumi (REE).

Kumpulan itu merangkumi lanthanum cerium (LaCe), praseodymium neodymium (PrNd), samarium europium gadolinium (SEG) dan heavy rare earth element (HREE).

Pencapaian ini membuktikan keupayaan teknologi tempatan dalam mengasingkan elemen-elemen REE yang penting.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini