IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada 10.07 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Lebih 2,000 hadirin diperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran, surah Al-Fath dan berselawat beramai-ramai pada sambutan bertema Mendepani Cabaran Merealisasikan Wawasan.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) kepada pesara pembantu tadbir, Rohani Tandaik, 65.
Ibu tunggal lapan anak itu menerima wang tunai RM10,000, tajaan menunaikan ibadah umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil penghargaan.
Sementara itu, Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) diberikan kepada Pensyarah Kanan Kolej Komuniti Gerik, Dr Mohd Fahmi Adbul Khir, 50, manakala Anugerah Zaid Bin Thabit (Tokoh Pengamal Media) pula diberikan kepada Ketua Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Roslan Ariffin, 58.
Anugerah Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) diterima oleh Persatuan India Muslim Perak diwakili Pengerusinya, Mohamed Arib Aliah.
Anugerah Tokoh Imam pula diterima Ustaz Agus Lokman Sulam, 56, yang berkhidmat di Masjid Jamek Sungai Lampam, Teluk Intan.
Bagi Anugerah Tokoh Bilal diterima oleh Mashudi Bakir, 62, yang bertugas di Masjid Slim River, manakala Tokoh Siak diberikan kepada Mua’ai Ribut, 71, yang berkhidmat di Masjid Jamek Jalan Menderang, Sungkai.
Masing-masing dikurniakan RM5,000, plak dan sijil penghargaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.